Browse Month: July 2017

Tips Mudah Elak Kucing Membuang Najis Merata-rata

Tips Mudah Elak Kucing Membuang Najis Merata-rata – Di kawasan perumahan yang saya tinggal, banyak kucing yang selalu datang untuk meminta makanan. Ayah kesian dengan kucing-kucing tersebut dan selalu menjamu mereka dengan friskies dari pelbagai brand. Ada juga kedengaran jiran yang kurang gemar dengan kucing-kucing yang selalu membuang najis di rumah mereka. Tak kurang juga dengan rumah kami juga dipenuhi dengan najis kucing di kawasan yang bertanah atau berpasir.

 

Oleh yang demikian, mak juga cuba melarang ayah untuk berhenti memberi makanan kepada kucing sebab takut jiran menyalahkan kami yang selalu menjamu kuicng-kucing terbiar. Tetapi, bila kesian, kami terpaksa memberi jugak.

 

Oklah point penting disini ialah saya nak berkongsi tips untuk elakkan kucing membuang najis atau kencing merata-rata di dalam atau diluar rumah yang saya perolehi dari sumber internet. Tips ini juga boleh menjadi panduan dan pengetahuan untuk saya dan anda semua. Semoga anda mendapat manfaat darinya.

 

1.Cuka

 

Jika anda terlihat tempat di mana kucing anda baru sahaja kencing, anda perlu membersihkannya segera. Kucing cenderung pergi ke tempat yang sama berulang-ulang kali, oleh itu anda perlu bertindak segera. Gunakan kain bersih untuk mengelap air kencing hingga kering. Setelah bersih, bilas dengan menggunakan sedikit air dan cuka. Cuka membantu menghilangkan bau yang tidak menyenangkan dan sangat berkesan menghilangkan bau dari air kencing kucing.

 

2.Toilet Traning

 

Sediakan kawasan yang berpasir untuk kucing dan ajarkan mereka untuk menggunakannya dengan kerap. Kebanyakan kucing mempunyai kebolehan belajar dengan agak cepat.Saya takde pun mende tuh sbb saya suka kucing berak @ kencing ditempat2 tersorok diluar kawasan rumah.

 

3.Serai

 

Orang cakap bau serai adalah sejenis bau yang benar-benar tidak disukai oleh kucing. Anda boleh membeli beberapa produk berasaskan serai atau serai wangi di pasaraya berdekatan dan semburkan di kawasan di mana kucing sering kencing di dalam rumah ataupun anda boleh letakkan sahaja di tempat yang strategik seperti di dalam bilik atau di dapur.

 

5 Cara Ini Terbukti Berkesan Membuatkan Pasangan Anda Mudah Mendengar Kata-Kata Anda

Setiap perhubungan romantis tidak terlepas daripada masalah, sama ada kecil atau besar. Hubungan di antara lelaki dan wanita adalah hubungan di antara dua makhluk yang diciptakan sangat berbeza dan naluri yang tidak sama. Jadi, pastinya dari masa ke masa akan berlaku perbalahan atau pertengkaran. Ini adalah normal.

Namun, terdapat perkara yang boleh mengelakkan sebuah pasangan daripada sentiasa mengalami masalah yang sama atau sentiasa bergaduh tanpa sebab yang jelas. Salah satunya adalah dengan berkomunikasi dengan baik. Komunikasi adalah salah satu tiang yang sangat penting dalam sesebuah perhubungan. Ramai hubungan yang hancur ditengah jalan akibat komunikasi yang tidak baik.

  1. Tahu cara menyetujui untuk tidak bersetuju (agree to disagree)

Walaupun anda sehati sejiwa dengan pasangan, pastinya terdapat perbezaan dari beberapa segi. Antaranya dari segi selera makan, cara berpakaian, muzik yang digemari sehinggalah kepada pemilihan perabut dalam rumah. Pasangan yang saling mencintai pun akan berasa tidak selesa jika berselisih pendapat mengenai kehendak peribadi seperti ini.

Menurut Dr. Leon Seltzer, ketika perbalahan berlaku anda akan merasakan diri anda diabaikan oleh pasangan anda yang mana ia boleh menjadi hal yang serius. Jelasnya lagi, “inner child” kita yang akan selalu mengawal emosi kita, dan apa yang logik yang sepatutnya dilakukan itu dikawal oleh diri kita yang dewasa. Jadi, kita perlu bijak buat keputusan, dan bersedia untuk mengalah serta bertolak ansur.

Yang penting, anda perlu ingat bahawa kedua-dua pendapat anda dan pasangan anda adalah benar.

 

  1. Anda perlu mendengar pendapat orang untuk orang mendengar pendapat anda

Jika setiap kali dalam pertengkaran anda sering bercakap mengenai apa yang anda rasa dan memotong percakapan pasangan anda ketika mana anda sepatutnya diam dan mendengar, bagaimana anda rasa orang lain akan mendengar pendapat anda? Dengar apa yang pasangan anda hendak perkatakan, anda akan dapat melihat pasangan anda akan memberikan respon yang sepatutnya terhadap apa yang ada perkatakan juga.

 

  1. Cakap apa yang perlu dan jangan berlebih-lebih

Ini yang selalu diendahkan dalam sesuatu pertengkaran atau perbincangan. Anda hanya perlu mengutarakan apa yang perlu sahaja dan tahu bila untuk berhenti. Jika anda asyik bercakap tiada batasan, anda hanya menampakkan diri anda menekankan apa yang anda hendak perkatakan sahaja, dan bukan mahu berbincang mengenai masalah tersebut sebagai orang dewasa.

Sentiasa beringat untuk berhenti, dan berikan sedikit masa kepada pasangan anda untuk hadam apa yang cakapkan supaya dia boleh memberikan respon yang baik.

 

  1. Jangan gunakan perkataan yang keras atau kesat

Biasanya ketika pertengkaran berlaku, anda pastinya berasa marah dan sukar untuk mengawal perasaan. Ini menyebabkan anda menggunakan perkataan yang keras dan kasar walaupun anda sebenarnya tidak bermaksud langsung. Apabila ini berlaku, perbincangan yang sepatutnya membuahkan hasil terus akan terbantut dan akan menyebabkan pergaduhan yang lebih teruk.

Gunakan perkataan seperti “tolong” daripada menggunakan “sekarang”. Walaupun anda mempunyai kuasa, adalah lebih baik dengan menggunakan pendekatan yang lembut. Disebabkan anda boleh, tak semestinya anda perlu. Satu lagi adalah dengan bertanyakan soalan berkali-kali seolah-olah ingin memprovokasi pasangan anda. Elakkan tindakan ini, melainkan ianya sangat perlu.

 

  1. Elakkan dari menyalahkan

Anda dan pasangan anda berada dalam satu hubugan romantis, jadi, ia amat lah bertentangan dengan perkara yang akan terjadi jika anda menyalahkan satu sama lain. Ia hanya akan membunuh keromantisan yang wujud di antara anda. Jika anda menyalahkan bermakna anda cuba untuk memalukan pasangan anda yang dianggap bersalah.

Jika anda benar-benar cinta dan sayang, bagaimana anda mempunyai hati untuk memperlakukan pasangan anda sebegitu rupa. Tujuan anda berbincang dan bertengkar bukanlah ingin mencari siapa yang salah tetapi mahu mencari penyelesaian supaya anda boleh hidup dengan bahagia. Jika setiap perkara anda akan mencari kesalahan siapa dan “keeping score”, ia akan menjadi tabiat dan menjadikan hubungan anda sebagai sebuah perlumbaan yang akhirnya akan hancur di tengah jalan.

Cakap apa yang anda mahu dan rasa tetapi jangan menyalahkan dan memalukan pasangan anda hanya disebabkan anda ingin si dia mendengar dan memberi respon kepada anda.

Walau apa pun yang berlaku, berbincang dan bertengkarlah dengan berhemah dan sebagai orang dewasa. Anda perlu ingat, setelah tamatnya pertengkaran, pasangan anda lah yang akan menjadi peneman anda setiap masa dari bangun pagi sehinggalah ke tidur. Tak memberi apa pun faedah jika anda menang dalam perbalahan tetapi ianya menyakitkan pasangan anda dan memberikan impak negatif kepada hubugan anda.

Wallahualam.

6 Perbuatan Oleh Ibubapa Ini Membuatkan Anak-Anak Renggang Dan Memberontak

Otak anak-anak bertindak balas terhadap tindakan dan percakapan atau suara ibu bapa sejak bayi lagi. Otak mereka semasa kecil berkembang dengan sangat cepat sehingga umur 14 atau 15 tahun. Kanak-kanak mempelajari cara bercakap dan bertindak melalui orang dewasa, yang menjadi cermin kepada mereka.

Jika anda mencarut di hadapan mereka, kemungkinan besar mereka juga akan belajar mencarut. Dan disebabkan mereka masih belum mampu mengawal emosi sepenuhnya, mereka akan lebih tertekan tanpa dapat mengawalnya.

“Tekanan jangka masa panjang adalah toksik kepada otak kanak-kanak dan boleh menjejaskan fungsinya untuk mengawal pemikiran dan emosi,” jelas Dr. Terri Apter.

iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 6 kelakuan yang anda tak patut lakukan pada anak-anak yang boleh memberikan kesan buruk jangka masa panjang kepada otak dan kelakuan mereka.

 

  1. Menidakkan kata-kata anak

Memang biasa sangat berlaku di mana ibu bapa menidakkan kata-kata anak anda dan tidak mendengar apa yang dikatakan mereka, namun tidak disedari oleh ibu bapa. Ya, memang benar naluri kanak-kanak yang biasanya bertindak secara impulsif tanpa memikirkan apa-apa kadang-kadang membuatkan ibu bapa hilang sabar dan terpaksa membesarkan suara.

Tetapi, kita sebagai orang dewasa perlu menangganinya dengan bijak. Komunikasi yang baik dan betul perlu diterapkan di antara ibu bapa dan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ini tersangat penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Menurut Dr. Barbara Greeberg, seorang pakar psikologi klinikal remaja, ibu bapa bersifat toksik adalah mereka yang tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh anak-anak dan menidakkan mereka. “Ibu bapa sepatutnya lebih bersabar dan dengar, dengar dan dengar ketika mana anak-anak bercakap dan terus bercakap,” jelasnya lagi.

 

  1. Tidak pandai mengawal kekecewaan

Jika anak-anak anda mencapai umur 15 tahun, kebanyakan ibu bapa mudah untuk berasa kecewa dengan anak mereka, sama ada dalam bidan sosial atau akademik. Tidak menyedari hal ini, ramai ibu bapa yang tidak tahu bahawa tindakan mereka lah yang akan sama ada menggalakkan atau melemahkan tingkah laku anak mereka.

Ibu bapa tidak sepatutnya meluahkan perasaan kecewa mereka terhadap anak mereka, sebaliknya mencari penyelesaian dan memberi semangat. Menurut pakar psikologi kanak-kanak, Dr. Jeffery Bernstein, ibu bapa pasti akan kagum melihat betapa cepatnya perubahan kepada tingkah laku anak-anak, jika ibu bapa sendiri dapat mengenalpasti dan mengawal kekecewaan mereka.

 

  1. Terlalu menjadi ibu bapa

Walaupun anda adalah ibu bapa kepada anak-anak anda, namun terlalu menggunakan posisi itu secara keterlaluan akan memberikan impak negatif kepada mereka. Sebagai kanak-kanak atau remaja yang sedang membesar, mereka memerlukan seseorang untuk menjadi mentor dan juga rakan.

Untuk membentuk anak-anak, anda perlu menjadi mentor iaitu tanggungjawab sebagai ibu bapa, dan juga rakan yang anda boleh capai melalui bersosial dengan mereka. Ketika ini, mereka mempunyai seorang idola untuk mereka contohi, dan anda perlu menjadi individu it.

Namun perlu diingat, anda perlu tahu sempadan antara persahabatan dan tanggungjawab keibubapaan supaya mereka tidak memijak kepala anda. Kesilapan yang paling besar boleh dilakukan ketika mereka remaja adalah ibu bapa terlalu mengikut kemahuan anak-anak dengan terlalu rapat dengan mereka sebagai sahabat dan terlupa tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa.

 

  1. Terlalu mengongkong

Melihat mereka membesar mengikut apa yang anda mahukan sememangnya suatu perasaaan yang tak dapat digambarkan.Namun, terdapat sesetengah ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka menjadi seperti yang mereka mahu, sehinggakan terlupa bahawa anak mereka juga mempunyai identiti mereka dengan menyekat anak-anak mereka.

Tindakan melampaui batas ini dengan mengongkong dan menghalang mereka untuk berdikari merupakan satu kesalahan yang amat besar. Memang benar ibu bapa ingin menjaga anak-anak daripada pengaruh negatif di luar dan mahu mengurangkan risiko. Tetapi, perlu tahu di mana hadnya, dan perlu berikan sedikit kebebasan, supaya mereka boleh lebih berdikari, dan tidak berasa diperhatikan setiap masa.

Anda perlu ingat, serisau mana sekalipun anda terhadap mereka, satu hari nanti anda tetap perlu melepaska mereka keluar dan mempunyai hidup sendiri. Tanpa latihan awal, ia akan menyukarkan hidup mereka kelak.

Pakar psikologi mempersetujui bahawa sifat berdikari perlu diterapkan untuk beberapa sebab penting, iaitu keyakinan diri, kemahiran bersosial dan mencari identiti mereka.

 

  1. Kritikan lisan

Jika anak anda ada melakukan kesalahan, jangan terus bertindak, lebih-lebih lagi mengkritik mereka menggunakan lisan, apatah lagi dengan kata-kata yang kasar dan boleh mengguris hati. Ia akan memberikan dua kesan negatif, iaitu menjatuhkan harga diri anda dan memburukkan pandangan anak-anak terhadap anda.

Cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menyimpan segala tanggapan negatif dalam diri anda dan tunggu masa yang sesuai bertindak. Dan tegur dengan berhemah kerana mereka akan lebih mendengar. Ini disebabkan mereka mengagak anda akan memarahi mereka, sebaliknya anda bercakap dengan baik, menambahkan lagi rasa hormat mereka terhadap anda.

Secara tak langsung, membuatkan mereka lebih mendengar kata.

 

  1. Mengabaikan keperluan mereka

Ini adalah yang paling penting di antara semua. Ketika mereka masih kecil, bukanlah wang ringgit yang mereka perlukan dari anda. Apa yang mereka mahukan adalah perhatian anda. Tanya diri anda, adakah anda memberi masa yang secukupnya kepada anak-anak anda?

Di zaman serba mencabar ini, dengan ekonomi yang tidak menentu, sudah tentu mencari wang ringgit untuk menyara keluarga menjadi keutamaan sehinggakan sukar bagi anda untuk memenuhi kehendak yang lain. Dan lebih mudah untuk anda menjadikan alasan sibuk untuk mengelak dari berhadapan dengan masalah ini.

Sedar tak sedar, anak anda menjadi semakin renggang dengan anda dan mula tidak mendengar kata anda. Jangan terkejut jika mereka tidak menghormati anda, kerana anda sendiri yang membentuk mereka untuk hidup tanpa anda. Jadi, bagi mereka, anda hanyalah orang yang tinggal sebumbung dengan mereka, tidak lebih dari itu.

Untuk membendung perkara ini daripada berlaku, berikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak anda, walau sesibuk mana sekalipun. Sentiasa ada bila mereka perlukan anda, dan luangkan masa 15 minit untuk memeluk mereka. Sentuhan fizikal terhadap anak-anak kecil memberikan kesan yang sangat positif. Bantu dalam kerja rumah mereka, tidurkan mereka dan ucap selamat malam.

Jika anda masih berkata anda terlalu sibuk untuk semua ini, muhasabah diri anda. Sampai bila anda akan sibuk dan tak punya masa untuk mereka? Jangan sampai semuanya sudah terlambat baru anda menyesal dan mula untuk luangkan masa, kerana itu hanyalah sia-sia.

Wallahualam