Sayu : Setiap malam mama mimpi Daniel .. Arwah pesan jika dia mati mahu adik pakai kopiahnya (8Gambar)

Setiap malam mama mimpi Daniel .. Arwah pesan jika dia mati mahu adik pakai kopiahnya (8Gambar)

Kota Bharu : Sudah kering air mata mama untuk tangisi permergian Daniel … namun mama pasrah apa yang berlaku hampir setiap malam, Surianty Mohamed, 39, bermimpi berjumpa dengan anaknya, Mohamad Daniel Md. Amin, 14, salah seorang mangsa tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September lalu.

Kata Surianty, walaupun tragedi itu sudah hampir se­bulan berlalu dan dia reda dengan ketentuan Allah, namun mimpi itu sedikit-sebanyak dapat mengubat rasa rindunya terhadap Allahyarham.

Menurutnya, dalam mimpi tersebut, dia dapat melihat Allahyarham yang lengkap berpakaian jubah putih serta serban sambil mengukirkan senyuman kepadanya.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan setiap dua malam sekali, saya akan bermimpi bertemu dengan arwah. Dalam mimpi itu, arwah hanya tersenyum,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payung di sini hari ini.

Dalam pada itu, Surianty berkata, ketika pulang menyam­but Aidiladha lalu, Mohamad Daniel sempat berpesan kepada adik bongsunya, Muhammad Salahuddin Al-Ayubbi Md. Amin, 6, supaya memakai kopiah milik­nya sekiranya dia tiada nanti.

“Kalau abang mati, pakailah kopiah abang. Itulah pesanan terakhir arwah kepada adiknya.

“Selepas kejadian itu, adiknya tidak pernah lupa memakai kopiah abangnya dan hanya akan buka ketika tidur,” katanya.

Surianty berkata, dia sudah memaafkan pihak yang bertanggungjawab mencetuskan kebakaran berkenaan sehingga mengorbankan anak sulungnya dan juga 22 lagi mangsa.

Terdahulu, Surianty mene­rima sumbangan daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Menurut Wan Munadi, sumbangan berke­naan adalah atas keprihatinan pihak YGMB terhadap keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.

“Walaupun institusi tahfiz ini bukan di bawah Kementerian Pendidikan, namun kita tetap tampil memberi sumba­ngan kepada semua waris mang­sa yang terlibat,” katanya. Al fatihah

Leave a Reply